Thursday, April 9, 2009

Pengenalan Kepada Virus Komputer

Pengenalan Kepada Komputer
Sebelum mengenali Virus adalah penting untuk mengetahui asas komputer terlebih dahulu.

Komponen-komponen Komputer

Komputer dibahagikan kepada dua komponen asas iaitu perkakasan atau hadwer dan perisian atau sofwer.
o Perkakasan adalah bahagian yang dapat dilihat dengan mata kasar. Ia merupakan gabungan sirkit dan chip silikon, peranti-peranti seperti cekera keras dan cekera liut yang menyimpan data, memori yang menyimpan maklumat untuk diproses oleh pemproses utama.
o Perisian pula merupakan arahan-arahan yang digunakan oleh komputer untuk memproses maklumat. Perisian mempunyai beberapa jenis seperti perisian sistem pengendalian, perisian sistem aplikasi dan lain-lain.

Bagaimana Komputer Beroperasi.

o Komputer memproses data menggunakan pemproses pusat dengan arahan yang dibacanya dari memori komputer tersebut. Data yang di simpan dalam cekera keras atau cekera liut juga perlu di alihkan ke dalam memori sebelum dapat dibaca oleh pemproses.
o Setiap cekera dibahagikan kepada sektor-sektor. Pada sektor awal terdapat maklumat pembahagian cekera dan saiznya serta maklumat direktori yang mengesan kedudukan fail.
o Semasa komputer baru dibuka ia selalunya akan menyemak sama ada terdapat cekera liut didalam pemacu cekera. Jika ada ia akan membaca sektor pertama dari cekera tersebut yang dikenali dengan 'boot record'. Maklumat ini akan diletakkan kedalam memori komputer dan diproses. Jika tiada cekera liut barulah komputer cuba membaca 'master boot record' yaang terdapat pada sektor pertama di dalam cekera keras.
o Dengan memproses arahan pada 'boot record' barulah komputer dapat membaca fail kernel bagi sistem pengendalian DOS iaitu fail io.sys dan kemudiannya msdos.sys. Kedua-dua fail ini adalah tersorok iaitu tidak dapat dilihat dengan menggunakan arahan file manager atau dir. Kemudian komputer membaca fail config.sys dan seterusnya membaca fail shell untuk sistem DOS iaitu command.com. Modul command.com kemudiannya digunakan untuk memproses fail-fail lain dengan didahului dengan fail autoexec.bat.

Apa itu Virus

Virus adalah sejenis aturcara dibawah golongan perisian penyangak. Di bawah disenaraikan perisian-perisian penyangak yang dikenali umum.

Perisian Berpepijat(Bug-Ware) Aturcara ini merupakan aturcara komputer biasa yang bertujuan untuk kegunaan baik tetapi mempunyai ralat yang tidak dikesan oleh pengaturcara. Ia mungkin disebabkan kesuntukan masa atau sememangnya pengaturcara itu bebal atau malas. Aturcara ini akan mengakibatkan kerosakan pada data pengguna.
Kuda Kayu(Trojan Horse) Dinamakan sempena hikayat kuda kayu dalam peperangan pihak Greek dan Trojan pada zaman dahulu, aturcara ini nampak dari segi luarannya seperti aturcara biasa yang digunakan untuk tujuan baik tetapi mempunyai agenda tersembunyi didalamnya. Kebanyakkan aturcara penyangak di serahkan kepada pengguna sebagai Trojan Horse. Ini termasuk aturcara virus.
Sumpah-Sumpah(Chameleon) Aturcara ini menyamar seperti aturcara biasa yang dikenali umum tetapi sebenarnya merupakan aturcara jahat. Contoh aturcara ini adalah aturcara yang meminta pengguna memasukkan kata laluan mereka. Kata laluan tersebut kemudiannya digunakan oleh penyangak yang membuat aturcara ini.
Bom Perisian(Software Bombs) Aturcara ini paling senang dibangunkan. Ia bertindak merosakkan data sebaik sahaja ia diproses.
Bom Logik (Logic Bombs) Aturcara ini selalunya menyemak sesuatu peristiwa dan melancarnya jika ia menepatinya. Sebagai contoh seorang pengaturcara menyemak maklumat gajinya. Apabila maklumat gajinya dibuang, yang bermakna ia telah dibuang kerja maka aturcara bom logiknya itu akan merosakkan semua maklumat didalam komputer.
Bom Masa (Time Bombs) Aturcara ini akan bertindak apabila menepati masa yang ditunggu atau nilai iterasi nya.
Pereplika (Replicators) Dikenali juga sebagai arnab. Ia mereplikakan dirinya sehingga memenuhi memori dan/atau cekera. Ia dicipta supaya sistem menghadapi masalah sumber sistem yang mengakibatkan sistem komputer menjadi perlahan dan kemudiannya tidak dapat beroperasi.
Cacing (Worms) Aturcara cacing ini selalunya berjangkit dari satu komputer ke satu komputer lain dalam rangkaian. Ia mereplikasikan dirinya semata-mata untuk menjangkiti komputer lain. Selalunya aturcara ini memasuki komputer dengan senyap dan setelah mendapat apa yang dikehendaki ia akan menghapuskan segala tanda tentang kehadirannya.
Virus Merupakan aturcara penyangak yang paling diketahui umum. Ia merubah aturcara lain supaya ia dapat menyeludup masuk kedalam komputer. Aturcara ini berupaya mereplikasikan dirinya. Jika ianya dibina dengan teliti ia tidak menukar atribut masa dan saiz atau pun 'checksum' aturcara yang ditumpangnya. Jenis-jenis Virus Terdapat beberapa jenis Virus yang sering menjangkiti komputer.

No comments:

Post a Comment